MUAR: Peniaga ‘bundle’ dijatuhi hukuman penjara 16 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki 134 kasut curi berjenama yang bernilai kira-kira RM20,000, awal bulan ini.
Majistret, Suzana Mokhtar menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Firdaus Mohd Sharif, 38, yang berhadapan 27 pertuduhan keseluruhan selepas kesemua pertuduhan dibaca berasingan oleh jurubahasa.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-27, dia didakwa menyimpan harta curi berupa 36 pasang kasut berjenama milik individu berlainan dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan bilik sewanya, antara jam 4.30 hingga 10.40 pagi, 3 hingga 4 Oktober lalu.
Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada kesemua mangsa memaklumkan beberapa kasut berjenama milik mereka hilang.
Hasil laporan dibuat oleh mangsa, polis menjalankan siasatan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati kelibat lelaki memanjat pagar rumah mangsa dan melarikan barangan terbabit.
Bertindak atas maklumat diperolehi, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar membuat tangkapan terhadap seorang lelaki di tepi Jalan Persiaran Bahagia, Jalan Abdul Rahman di sini, jam 4.30 pagi, 3 Oktober lalu.
Sebelum itu, tertuduh cuba melarikan diri dengan menyorok dalam belukar berhadapan jalan terbabit namun berjaya ditahan.
Dengan dipandu arah olehnya, tertuduh menunjukkan sebuah MPV yang diparkir berhampiran lokasi ditahan dan menjumpai pelbagai jenis kasut berjenama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Mohd Rofaie manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan sebelum itu memohon mahkamah mengambil kira kesalahan dilakukan kerana membabitkan ramai mangsa serta tertuduh mempunyai rekod lampau dalam kes sama.
“Daripada jumlah keseluruhan 134 kasut berjenama yang ditemui, 36 daripadanya berjaya dicam oleh mangsa, manakala bakinya masih dalam proses untuk pengecaman,” hujahnya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 16 bulan terhadap tertuduh yang berkuatkuasa dari tarikh ditangkap, 3 Oktober lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.