comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Peniaga didakwa enam pertuduhan cabul anak saudara

FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam pertuduhan mencabul anak saudara berusia 11 tahun di Bachok, sejak Februari lalu.

Tertuduh yang berusia 32 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh yang mempunyai hubungan amanah dengan anak saudaranya iaitu kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun tujuh bulan ketika kejadian didakwa melakukan perbuatan amang seksual dengan mencabul mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di dua buah rumah di Bachok pada 26 Februari, 1 Mac, 7 Mac, 25 Mac dan 4 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a), Seksyen 14 (b) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Zulbasysyar Saharudin.

Terdahulu, Siti Edabayu tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes yang dihadapi tertuduh amat serius dan membabitkan jenayah seksual.

Muhammad Zulbasysyar dalam rayuannya memohon ikat jamin minimum memandangkan tertuduh pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) masalah penglihatan sejak dua tahun lalu selepas terbabit kemalangan selain perlu menyara keluarga.

Nik Habri kemudiannya membenarkan ikat jamin RM75,000 bagi kesemua kes, selain menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat dan dilarang mengganggu mangsa.

Mahkamah turut menetapkan 13 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini