Tumpuan :
Mahkamah

Peniaga didakwa pandu kereta laju, sebabkan kematian kanak-kanak perempuan

FOTO: PDRM

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu kereta dengan laju sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, empat hari lepas.

P. Kuhan Raj, 31, didakwa memandu kereta jenis BMW dengan laju sehingga menyebabkan kematian pembonceng motosikal Nur Naura Nathifa Mohd El-Khuwailid di Lebuhraya Bukit Jalil menghala ke Puchong pada 9.50 malam, 15 November lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 dan penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Salsabila Mohammad mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Inderpal Singh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya bekerja sendiri dan menanggung keluarga.

Majistret Haneefa Ariffin membenarkan Kuhan Raj diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung berkuat kuasa serta merta.

Sebutan kes ditetapkan pada 21 Januari tahun depan.

Semalam, media melaporkan polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat kejadian langgar lari hingga menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan maut, manakala ibu bapanya cedera di Lebuhraya Bukit Jalil.

Dalam kejadian kira-kira 9.50 malam itu, tiga beranak itu terjatuh di atas jalan raya selepas motosikal jenis Honda Beat ditunggang mereka dilanggar kereta milik tertuduh.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini