comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Peniaga didenda RM1,000 guna kekerasan, ugut wartawan

Foto: NSTP

SEREMBAN: Seorang peniaga didenda RM1,000 di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyerang dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wartawan sebuah portal berita, Jumaat lalu.

Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, S Subramaniam, 41, mengaku bersalah apabila tuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyerang dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang lelaki berusia 24 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Seremban Jaya, di sini, pada jam 7 malam, 11 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Muhaimin Mohd Azman manakala tertuduh diwakili peguam Asmawi Ismail. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini