comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Peniaga dihukum penjara 5 tahun dan 4 sebatan, mengaku rogol, cabul remaja perempuan

MUAR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan empat sebatan terhadap seorang peniaga atas kesalahan merogol dan amang seksual remaja perempuan bawah umur.

Tertuduh, Siah Wei Young, 26, mengaku bersalah dihadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan pertama, dia yang juga peniaga ikan hiasan dalam talian didakwa merogol remaja terbabit di rumahnya di Kluang, pada jam 5 petang, 22 Julai tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama, pada jam 5.45 petang, 3 Mei lalu dengan kejadian ini juga berlaku di rumah sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama.

Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa membuat laporan polis pada 6 Mei lalu selepas anaknya memaklumkan dia dirogol tertuduh selepas dibawa ke rumahnya di Kluang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh diwakili Amalia Marsita Hamdan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Selepas mendengar hujahan dan rayuan pihak pendakwaan serta pembelaan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan tiga sebatan bagi pertuduhan pertama.

Bagi tuduhan kedua, dua tahun penjara dan satu sebatan dengan hukuman penjara berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditahan, 7 Mei lalu.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama tahun sebaik selesai menjalani hukuman selari dengan Seksyen 27 AKKSTKK.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini