
KUALA LUMPUR: Seorang peniaga didenda RM90 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah mengeluarkan kata-kata kesat kepada seorang pegawai kanan polis.
Majistret, Nurul Izzah Shaharuddin menjatuhkan denda itu terhadap Sabindo Simon, 34.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu berkelakuan tidak sopan dengan cara mengeluarkan kata-kata kesat kepada Deputi Superintendan Kenneth Oliver Samuel di sebuah pusat hiburan di Kepong, pada jam 12.10 pagi, 9 September lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil Tahun 1955 yang membawa hukuman maksimum denda RM100.
Timbalan Pendakwa Raya, Sheryn Yong Shi Yee memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
Sabindo yang diwakili peguam Yayasan Biro Guaman Kebangsaan (YBGK), Ernie Ahmad bagaimanapun merayu supaya denda minimum dikenakan mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh dan menyesal serta memohon maaf kepada pegawai polis berkenaan atas perbuatannya.
Nurul Izzah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM90 dan sekiranya gagal membayar denda akan dipenjara seminggu.
Tertuduh membayar denda berkenaan.