comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Peniaga Tudung Didakwa Tipu ‘Kekasih’ RM483,570

Kota Bharu: Peniaga tudung didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 166 pertuduhan menipu ‘kekasih’ yang dikenali di Facebook dengan jumlah keseluruhan RM483,570, antara 3 Julai 2018 hingga 6 Ogos 2020.

Bagaimanapun, tertuduh, Natasha Adini Abdullah, 27, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicara selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa selama tiga jam di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu dengan cara memperdayakan seorang lelaki berusia 32 tahun melalui pinjaman wang dengan cara menyamar sebagai Nur Farah Alisya dengan nilai antara RM300 hingga RM10,000.

Perbuatan itu dengan curangnya mendorong lelaki itu yang bekerja sebagai peniaga barang basah secara dalam talian membuat transaksi pindahan wang dengan jumlah keseluruhan RM483,570 ke dalam satu akaun bank atas nama Natasha Adini Abdullah.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di sini, antara 3 Julai 2018 hingga 6 Ogos 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang daripada setahun dan sehingga 10 tahun, sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – HARIAN METRO

Loading...

Terkini