comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penjaja ketam nipah mengaku salah cederakan penjawat awam, halang tugas

Penjaja ketam nipah (tengah) ketika hadir di Mahkamah Majistret George Town -Foto: NSTP

GEORGE TOWN: Penjaja ketam nipah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan menghalang tugas penjawat awam anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan menyebabkan kecederaan.

Tertuduh, Muhammad Ridzuan Al-Hafidz Mohd Alamirul Muben, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Muhammad Ridzuan Al-Hafidz didakwa dengan sukarela menghalang tugas penjawat awam, anggota penguat kuasa MBPP dalam menjalankan fungsi awamnya apabila tidak memberi kerjasama ketika membuat rampasan barang niaga.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Tapak No 100, Jalan Penaga, Pasar Pagi Jelutong, dalam Daerah Timur Laut pada jam 9.20 pagi, 9 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Manakala pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas penguat kuasa MBPP di lokasi dan masa yang sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali manakala tertuduh diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan denda RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama.

Manakala bagi pertuduhan kedua, mahkamah menetapkan denda RM1,500 atau lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh kemudian membayar denda yang dikenakan terhadapnya.

Jumaat lalu, dua penjaja ketam nipah direman selama dua hari, bagi membantu siasatan susulan kekecohan membabitkan penguat kuasa MBPP di Pasar Pagi Jelutong.

Kejadian berlaku ketika operasi terhadap penjaja tanpa lesen yang membabitkan rampasan barangan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini