comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penjara, denda RM6,000 cabul, tunjuk kemaluan

Yap Jian Sheng, dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi empat pertuduhan termasuk mencabul kehormatan wanita dan perbuatan lucah di hadapan kanak-kanak.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM6,000 terhadap seorang pembantu restoran kerana mencabul kehormatan dan menunjukkan kemaluan kepada wanita.

Yap Jian Sheng, 24, menjalani hukuman penjara bermula kelmarin iaitu hari tangkapan dan akan dipenjara tiga minggu lagi jika gagal membayar denda berkenaan.

Majistret Nuzul Izzah Shaharuddin menetapkan keputusan itu selepas Jian Sheng mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan menggunakan kekerasan jenayah dengan mencabul kehormatan seorang wanita warga asing berusia 27 tahun.

Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Jian Sheng juga didakwa melakukan perbuatan lucah dengan menunjukkan kemaluan yang mendatangkan kegusaran kepada seorang wanita berusia 26 tahun.

Kesalahan mengikut Seksyen 294(a) KK yang memperuntukkan penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-keduanya.

Dua kesalahan terbabit dilakukan di sebuah residensi sama di Kepong, Sentul, pada jam 2 pagi dan 1.30 pagi masing-masing 14 serta 19 Oktober lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diana Mohamad Saad, memohon hukuman berat dan setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

“Tindakan tertuduh juga menyebabkan mangsa trauma dan takut. Kejadian itu berlaku pada Oktober lalu, namun mangsa masih ingat insiden yang berlaku.

“Tertuduh bukan saja mengancam keselamatan mangsa, namun kepada masyarakat secara menyeluruh,” katanya.

Bagaimanapun, Jian Sheng yang tidak diwakili peguam meminta hukuman minimum kerana perlu menanggung keluarga.

“Saya belum berkahwin dan hanya kerja di restoran selain tinggal di rumah majikan.

“Bapa sakit dan tak bekerja, manakala ibu hanya seorang penjaja. Saya minta denda dan hukuman dikurangkan,” katanya.

Sementara itu, Jian Sheng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua lagi pertuduhan amang seksual membabitkan dua remaja perempuan.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal dengan memeluk dan menyentuh kemaluan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun.

Dengan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Jian Sheng juga didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual bukan fizikal dengan menunjukkan kemaluan kepada seorang remaja perempuan berusia 13 tahun.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 15 (a) (i) akta sama yang membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Dua kesalahan berkenaan dilakukan di sebuah residensi sama di Kepong, Sentul, pada jam 6.30 petang dan 8.30 malam masing-masing 11 Oktober dan 25 November lalu.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin, memohon tertuduh tidak diikat jamin kerana mendatangkan risiko kepada masyarakat.

“Ia memandangkan kesalahan terhadap kanak-kanak dilakukan di kawasan berlainan sekali gus wujud masalah jika tertuduh dilepaskan. Tertuduh tidak akan dapat dikesan jika diberi jaminan kerana tiada tempat tinggal tetap,” katanya.

Bagaimanapun, Jian Sheng memohon diberi jaminan atas alasan sudah insaf.

“Saya tidak minta apa-apa kecuali jaminan. Saya diberitahu pengurus saya akan menjadi penjamin, namun setakat ini tidak nampak kehadirannya dalam mahkamah,” katanya.

Hakim Tasnim Abu Bakar kemudian tidak menetapkan sebarang jaminan dan sebutan kes seterusnya pada 31 Januari tahun depan.

Loading...
Terkini