comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penjawat awam dituduh cabul remaja OKU di tandas sekolah 

Mukfarnizan Mukhtar ketika dibawa untuk pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu. – Foto: NSTP

KOTA BHARU: Seorang penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap gadis kurang upaya (OKU) di tandas sekolah pada November 2022.

Mukfarnizan Mukhtar, 42, yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Dia didakwa melakukan jenayah itu terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun enam bulan ketika kejadian dalam tandas sebuah sekolah di daerah ini, jam 9 pagi, 24 November 2022.

Mukfarnizan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh diwakili peguam, Ahmad Nizam Mohamed.

Ahmad Faiz memohon jaminan paling tinggi ditawarkan memandangkan perbuatan itu dilakukan terhadap remaja bawah umur yang juga OKU, namun peguam memohon RM5,000 atas alasan tertuduh memberi kerjasama baik kepada polis dan mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan melarang tertuduh mengganggu mangsa serta 27 Jun ini untuk serahan dokumen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini