SEREMBAN: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak angkat perempuannya, Mei tahun lalu.
Tertuduh berusia 51 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun (ketika itu) di sebuah rumah di Jelebu, Mei tahun lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Mohd Saubian menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Nur’ain Shahiera Khalid memohon ikat jamin yang rendah.
Nur’ain Shahiera berkata, anak guamnya bekerja sebagai penjaga pintu empangan dengan pendapatan RM2,500 dan perlu menanggung isteri serta lapan anak termasuk mangsa.
Surita kemudian bertanyakan hubungan mangsa dengan tertuduh serta lokasi mangsa ketika ini sebelum pihak pendakwaan dan pembelaan mengesahkan mangsa adalah anak angkat.
Difahamkan, mangsa masih mendapat rawatan di hospital sebelum diambil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk penjagaan.
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM12,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa serta melapor diri di balai polis setiap bulan.
Sebutan semula bagi serahan dokumen ditetapkan pada 27 November depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.