comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penjual ikan dituduh pukul adik kandung kerana wang RM10,000

Foto: NSTP

BATU PAHAT: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menolak pengakuan bersalah dibuat seorang penjual ikan yang didakwa menumbuk kepala dan leher adik kandungnya hingga cedera, di sini, Sabtu lalu.

Majistret Suhaila Shafi’uddin menolak pengakuan tertuduh, Tan Tee Kiat, 55, yang pada mulanya mengaku bersalah selepas mendapati duda dua anak itu tidak memahami sepenuhnya pertuduhan serta fakta kes dikemukakan dalam bahasa Melayu oleh jurubahasa terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan adik kandungnya berusia 45 tahun di rumah ibunya di Kampung Segenting, Mukim 9, di sini, pada jam 6 petang, 28 September lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya manakala Seksyen 326A, penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan atas sabitan kesalahan mengikut Seksyen 323.

Berdasarkan laporan dibuat, sebelum kejadian tertuduh meminta wang sebanyak RM10,000 daripada ibunya kerana mahu membuat modal perniagaan.

Namun, adik tertuduh yang kebetulan berada di rumah menegurnya sebelum berlaku pertengkaran antara dua beradik itu.

Tertuduh kemudian bertindak memukul leher dan kepala adiknya hingga cedera. Laporan perubatan juga mendapati ada kesan kecederaan dialami mangsa.

Satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada hari kejadian dan tertuduh ditahan bagi membantu siasatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Haryanti Othman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Susulan itu, mahkamah menetapkan 24 Oktober ini untuk sebutan semula serta kehadiran jurubahasa Mandarin.

Pada masa sama, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa dan juga saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini