comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penolong jurutera didenda RM4,800, tipu kerja penyelenggaraan 

Haslin Abdul Halim (tengah) diiring pegawai SPRM Melaka untuk membayar denda selepas didenda RM4,800 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas tuduhan menipu pengarah KVMT. – Foto Ihsan SPRM.

MELAKA: Seorang penolong jurutera Kolej Vokasional Melaka Tengah (KVMT) didenda RM4,800 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, atas kesalahan menipu berkaitan kerja penyelenggaraan.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap Haslin Abdul Halim, 49, yang menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan kedua dikemukakan pendakwaan hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu yang juga Penolong Jurutera Awam Gred JA29 di KVMT, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pilihan kedua, Haslin didakwa menipu pengarah KVMT hingga mendorongnya meluluskan Nota Minta berjumlah RM2,000 bagi kerja penyelenggaraan salur air keluar di Dewan Bunga Raya, Pejabat Pentadbiran dan surau ruang perempuan kepada Perniagaan AWS Maju Enterprise milik anak wanita itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di KVMT Bukit Katil di sini, pada Mac 2019 dan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi dua lagi pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa menipu pengarahnya untuk meluluskan dua Nota Minta, masing-masing bagi bayaran penyelenggaraan kecil di belakang dewan KVMT bernilai RM500 dan baik pulih bumbung bocor di Bengkel Automotif dan Bengkel MPI (RM1,450) kepada syarikat sama pada Februari 2017 dan Oktober 2018.

Bagi tiga tuduhan utama, dia dituduh mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 iaitu secara rasuah menggunakan kedudukan dan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan memberikan kerja-kerja membaik pulih berjumlah keseluruhan RM3,950 kepada syarikat sama.

Berikutan tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan kedua, pertuduhan lain mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 diambil pertimbangan oleh mahkamah berdasarkan peruntukan Seksyen 171 Kanun Prosedur Jenayah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Kamarulzaman Jusoh.

Terdahulu, tertuduh memohon denda minimum dan tidak dipenjarakan kerana mempunyai lapan anak.

Loading...
Terkini