Tumpuan :
Mahkamah

Penolong pegawai JPV Terengganu didenda RM5,000 kerana tuntutan palsu

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM5,000 ke atas seorang Penolong Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, selepas mengaku bersalah terhadap dua dari empat pertuduhan pilihan membuat tuntutan palsu melibatkan kerja-kerja selenggara dan alat ganti kenderaan jabatan bernilai keseluruhan RM8,578.69.

Tertuduh, Mohd Hisham Daud, 46 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Azhar othman.

Mengikut  pertuduhan, tertuduh didakwa atas kesalahan meluluskan dokumen inden kerja atau pesanan tempatan bagi kerja membekal alat ganti dan menyelenggara kenderaan jabatan kepada Syarikat Serangkai Automobiles Sdn Bhd bernilai RM1,615.20, RM1,574.09, RM3,808.10  dan RM1,581.30 dan perkhidmatan tersebut tidak dilaksanakan oleh syarikat terbabit.

Kesalahan tersebut dilakukan tertuduh di antara Mac 2019 sehingga Jun 2020.

Tertuduh kemudiannya ditawarkan oleh pihak pendakwaan dengan pertuduhan pilihan di bawah seksyen 471/465 Kanun Keseksaan bagi kesemua pertuduhan di bawah Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 selepas tertuduh mengemukakan representasi.

Mohd Hisham kemudiannya membuat pengakuan bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 471/465 Kanun Keseksaan iaitu untuk tuntutan yang bernilai masing-masing RM1,574.09 (bagi pertuduhan pilihan kedua) dan RM3,808.10 (bagi pertuduhan pilihan ketiga).

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 dan jika gagal bayar boleh dikenakan dua bulan penjara bagi kesalahan pertuduhan pilihan kedua.

Manakala denda RM3,000 dan jika gagal bayar boleh dikenakan 3 bulan penjara bagi pertuduhan pilihan ketiga dan mengarahkan hukuman berjalan serentak.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Mariah Omar dan tertuduh diwakili peguam Mohamad Afiq Farhan Mohd Hanipha.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini