comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penoreh getah mengaku tidak bersalah tuduhan cuai hingga anak termakan biskut ganja

Penoreh getah, Mohamad Firdaus Hassim, 39, didakwa di Mahkamah Sesyen Taiping, Perak atas tuduhan cuai hingga menyebabkan anak perempuannya termakan biskut dicampur ganja. – FOTO: NSTP

TAIPING: Penoreh getah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan cuai hingga menyebabkan anak perempuannya termakan biskut dicampur ganja, minggu lalu.

Tertuduh, Mohamad Firdaus Hassim, 39, didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun 7 bulan didapati cuai membiarkan kanak-kanak itu memakan biskut buatan tertuduh yang mengandungi dadah jenis kanabis (ganja) dan mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan kesihatan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Kampung Bagan Lawin di Gerik, daerah Hulu Perak jam 7.30 malam, 29 Mei lalu.

Tuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.

Hakim Nabisha Ibrahim menetapkan  6 Julai depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar sementara menunggu lantikan peguam dan laporan perubatan mangsa.

Buletin TV3 sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan dikejarkan ke hospital selepas mengalami simptom sesak nafas akibat termakan biskut dibuat bapanya yang disyaki dicampur dengan ganja di Lawin, Gerik.

Loading...
Terkini