comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penternak kambing mengamuk di Peserai, dihukum penjara 12 bulan 

BATU PAHAT: Seorang penternak kambing dipenjara 12 bulan selepas mengaku bersalah merosakkan rumah menggunakan pisau dan pemotong dalam kejadian amuk di Peserai di sini, Isnin lalu.

Hussain Ibrahim, 46, membuat pengakuan itu di Mahkamah Majistret di sini hari ini, sejurus pertuduhan terhadapnya dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat dengan memecah tingkap, pintu serta dinding rumah milik seorang lelaki berusia 45 tahun, di Peserai, 6.30 pagi, 27 Mei lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh menggunakan senjata terbabit dan datang ke rumah pengadu lalu memarahinya.

Kemuncaknya apabila tertuduh bertindak memecahkan tingkap, pintu dan dinding selepas tidak berpuas hati terhadap mangsa.

Bertindak atas laporan dibuat mangsa, tertuduh akhirnya ditahan pada hari kejadian bagi membantu siasatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Selain Seksyen 427, tertuduh turut berhadapan empat lagi pertuduhan iaitu Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar heroin, dua kes mengikut Seksyen 15 (1) (a) dan Seksyen 12 (2) akta sama kerana memiliki methamphetamin.

Dia mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan kecuali Seksyen 39B dengan mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin bagi kes ini.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bagi kesalahan khianat dengan kes akan disebut semula bagi pertuduhan berkaitan dadah pada 5 Ogos ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini