comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Penyokong Najib berkumpul di luar Istana Kehakiman

Penyokong Najib berkumpul di luar pekarangan Istana Kehakiman beri sokongan semakan sabitan dan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – Foto NSTP

PUTRAJAYA: Kira-kira 50 penyokong Datuk Seri Najib Razak berkumpul di luar Istana Kehakiman hari ini sebagai tanda sokongan terhadap bekas Perdana Menteri itu yang menghadiri prosiding semakan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung sabitan bersalah penyelewengan dana SRC International.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini mengekalkan sabitan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Kumpulan penyokong berkenaan yang dikatakan dari UMNO Pekan mula berkumpul sejak jam 8.30 pagi.

Ketua UMNO cawangan Taman Permata, Pekan, Md Yusop Osman, 61, berkata ini kali kedua mereka hadir ke sini bagi menunjukkan solidariti kepada Najib.

Katanya, pihak berkuasa tidak sepatutnya menahan Najib tanpa bukti yang kukuh. Sekiranya Najib bersalah, tunjukkan bukti dan beliau tidak sepatutnya ditahan.

Sementara itu, kira-kira jam 8.50 pagi tadi kenderaan membawa Najib tiba dengan diiringi beberapa anggota polis.

Isteri bekas Perdana Menteri itu, Datin Seri Rosmah Mansor hadir jam 9.30 pagi.

Pada 10 Januari lalu media melaporkan, mahkamah menetapkan hari ini bagi menyemak sabitan dan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Dua lagi tarikh iaitu pada 20 dan 26 Januari ini yang diputuskan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Wan Fatimah Zahara Wan Yussoff dan Siti Hajar Mustaffa, sebelum ini sudah dilapangkan.

Loading...
Terkini