comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kes Syed Saddiq Akan Dibicarakan Di Mahkamah Tinggi

Mahkamah membenarkan permohonan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, untuk memindahkan perbicaraan kes beliau berkaitan empat pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan wang sumbangan dan pengubahan wang haram, dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Mohamed Zaini dalam keputusan ringkas berkata mahkamah yakin kemungkinan besar terdapat persoalan perundangan luar biasa yang akan timbul dari kes itu.

“Adalah wajar untuk keadilan bagi kes pemohon dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Sehubungan itu, permohonan ini dibenarkan,” kata hakim.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah, pemohon telah gagal menunjukkan isu undang-undang yang wujud adalah isu yang kompleks dan pertama kali wujud sehingga menyebabkan seorang hakim Mahkamah Sesyen tidak dapat mengendalikan isu berkenaan.

“Berhubung dakwaan pembelaan wujudnya konspirasi jenayah, pemohon juga gagal untuk menunjukkan dalam afidavitnya bagaimana Hakim Mahkamah Sesyen tidak boleh menangani dakwaan pembelaan tersebut jika ia timbul semasa perbicaraan kelak. Justeru, kami memohon permohonan ini ditolak,” katanya.

Sementara itu, peguam mewakili Syed Saddiq, Gobind Singh Deo berhujah, jika kes itu dibicarakan di Mahkamah Sesyen, masalah akan timbul kerana ia tidak dapat mengendalikan isu perlembagaan.

Hakim Mohamed Zaini bersetuju dengan hujah Gobind bahawa akan ada gangguan perbicaraan apabila isu berkenaan timbul di Mahkamah Sesyen.

“Bagaimanapun, jika perbicaraan kes bermula di Mahkamah Tinggi, isu perlembagaan boleh dikendalikan, ia akan menjadi seperti Pusat Sehenti,” kata hakim. – BERNAMA

Loading...
Terkini