comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Perdaya ejen PERKESO, bekas pengurus syarikat didenda RM45,000 

 

BUTTERWORTH: Seorang bekas pengurus syarikat yang mengaku bersalah atas dua daripada empat pertuduhan memperdaya ejen Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berhubung Program PENJANA Kerjaya 3.0 dijatuhi hukuman denda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen, hari ini.Keputusan dibuat Hakim Zulhazmi Abdullah terhadap Muhammad Al Bukhari Abdullah, 38 yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan pertama dan keempat dibacakan terhadapnya.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, ia dipertimbangkan untuk diputuskan sebagai ‘Take Into Consideration’ atau diambil untuk pertimbangan oleh mahkamah.

Muhammad Al-Bulkhari (kiri) bersama peguamnya, V Parthipan, ketika hadir di Mahkamah Butterworth. – Foto NSTP

Bapa kepada dua anak itu turut diperintah menjalani hukuman penjara masing-masing tiga dan enam bulan sekiranya gagal melunaskan bayaran denda bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan keempat, tertuduh yang ketika itu Pengurus Syarikat Vshine Metal and Plastic Trading didakwa memperdaya ejen PERKESO untuk mempercayai bahawa dua nama dalam senarai pekerja melalui Data PENJANA Kerjaya 3.0 bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja adalah kakitangan syarikat itu.

Tindakan itu mendorong PERKESO membuat bayaran berjumlah RM22,880 ke dalam akaun syarikat berkenaan, yang mana pertubuhan itu tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan tertuduh.

Kesalahan dilakukan di Pejabat PERKESO negeri dalam daerah Seberang Perai Tengah pada 22 November dan 5 Disember 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Noor Azura Zukiflee mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, manakala tertuduh diwakili peguam V Parthipan.

Terdahulu, peguam tertuduh merayu denda minimum dikenakan berikutan ia kesalahan pertama selain kerjasama anak guamnya yang membuat pengakuan bersalah menjimatkan masa dan kos semua pihak.

Parthipan juga memaklumkan kewangan anak guamnya tidak begitu baik, di samping perlu menyara dua anak berusia satu dan tiga tahun.

Hakim menetapkan denda masing-masing RM10,000 dan RM35,000 untuk pertuduhan pertama dan keempat.

Loading...
Terkini