
PUTRAJAYA: Perintah pengharaman buku Gay is Okay! A Christian Perspective’ yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri tiga tahun lalu dikekalkan Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 Februari tahun lalu yang membenarkan semakan kehakiman penerbit dan penulis buku untuk membatalkan perintah pengharaman buku berkenaan.
Hakim Datuk Wong Kian Kheong yang membacakan penghakiman majoriti berkata, pengharaman buku itu oleh Menteri Dalam Negeri sejajar dengan undang-undang, rasional dan tidak melanggar keadilan semula jadi.
Beliau berkata, terdapat kemungkinan tajuk dan kandungan buku berkenaan akan memprejudiskan ketenteraman awam, nilai-nilai moral dan kepentingan awam.
Dengan keputusan itu, mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati tiada bukti dan asas fakta undang-undang terhadap justifikasi menteri yang menjadi asas dalam perintah larangan itu.
Perintah larangan ke atas buku itu dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri pada 27 November 2020 mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dengan alasan kandungannya yang mungkin memudaratkan ketenteraman, moral dan kepentingan awam.
Pada 22 Februari tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman penerbit dan penulis buku terbabit, Chong Ton Sin dan Ngeo Boon Lin bagi membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri yang mengharamkan buku terbabit.