comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Perintah larangan bersuara terhadap Chegu Bard dikeluarkan Mahkamah Tinggi

JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengeluarkan perintah larangan bersuara terhadap Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard, daripada mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen berhubung kes kasino di Forest City, Iskandar Puteri, yang dihadapinya.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonan perintah sama, sebelum ini.

Abu Bakar memutuskan demikian selepas mendapati perintah yang ditolak hakim Mahkamah Sesyen itu gagal menimbangkan keseluruhan senario kes membabitkan responden.

Katanya, responden telah pun dituduh atas dua kesalahan yang berasingan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membabitkan kes hasutan dan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Abu Bakar berkata, sekiranya perintah larangan bersuara tidak diberikan, kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara tidak wajar untuk mencemar duli bagi menjawab isu-isu yang ditimbulkan dalam media sosial.

“Responden telah pun diberi jaminan bagi kes-kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Dalam keadaan ini, responden bebas untuk menggunakan media sosial untuk membuat hantaran atau komen- komen berkaitan kes ini.

“Di sinilah Hakim Mahkamah Sesyen gagal menimbangkan risiko nyata dan besar untuk responden mengulangi hantaran hasutan yang sama terhadap Yang di-Pertuan Agong, sekiranya perintah larangan bersuara tidak diberikan.

“Mahkamah ini berpendapat Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kebebasan kepada responden untuk bersuara bukannya hak yang mutlak. Hak bersuara ini tertakluk kepada sekatan undang-undang.

“Responden tidak perlu menggunakan media sosial untuk mempertahankan haknya atas pertuduhan yang dihadapinya. Responden akan mendapat perbicaraan yang adil sebagaimana yang dijamin dalam Perkara 5 (1), Perlembagaan Persekutuan. Responden turut diwakili oleh seorang peguam yang berpengalaman dan kompeten,” kata hakim ketika membacakan keputusannya, hari ini.

Abu Bakar berkata, berdasarkan alasan-alasan berkenaan Mahkamah Tinggi ini menggunakan kuasa semakan yang ada mengenepikan perintah penolakan larangan bersuara oleh Mahkamah Sesyen, sebelum ini.

“Mahkamah ini mengeluarkan perintah larangan bersuara (Gag Order) keatas responden, ejen serta sesiapa wakil daripada apa-apa hantaran atau komen di media sosial berkaitan kes ini sehingga perbicaraan diselesaikan,” katanya.

Pada 30 April lalu, Chegu Bard dilaporkan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut berhubung projek kasino di Forest City menerusi media sosial, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Chegu Bard, 45, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Rasidah Roslee.

Hakim turut dilaporkan menolak cadangan perintah larangan dimohon dengan alasan pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti atau afidavit secara bertulis bagi menunjukkan Chegu Bard atau pihak berkaitan akan menjejaskan keadilan perbicaraan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini