Tumpuan :
Mahkamah

Permohonan Badan Peguam cabar pengurangan hukuman penjara, denda Najib ditolak

Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.-Foto fail Reuters

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Badan Peguam untuk memulakan prosiding semakan kehakiman mencabar keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Hakim, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman itu selepas mendapati perkara berkenaan tidak boleh diputuskan melalui prinsip undang-undang atau oleh mahkamah.

Dalam keputusannya, Ahmad Kamal berkata, mahkamah berpendapat bahawa nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan adalah sebahagian daripada proses yang membawa kepada pemberian pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Justeru, ia bukan perkara yang sesuai dan wajar untuk disemak semula di hadapan mahkamah ini,” katanya.

Pada 26 April lalu, Badan Peguam memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman berkenaan dengan menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta Najib sebagai responden.

Ia memohon perisytiharan bahawa keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Januari lalu berhubung permohonan Najib untuk mengurangkan separuh daripada hukuman penjaranya – yang menyaksikan beliau akan dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028 – adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan batal.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini