comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Permohonan isteri Daim mahu pasport secara kekal didengar 13 Mac

Isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 13 Mac depan untuk mendengar hujahan isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, bagi mendapatkan pasport secara kekal.

Hakim Datuk Ahmad Bache, juga memutuskan hujahan bertulis peguam mewakili isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan pihak pendakwaan pada 4 Mac, diikuti hujahan balas daripada kedua-dua pihak pada 11 Mac.

“Saya mungkin akan memberi keputusan pada hari sama (13 Mac),” katanya ketika pengurusan kes berkenaan.

Terdahulu, peguam bela Na’imah, M Puravalen memaklumkan permohonan anak guam untuk mendapatkan pasport difailkan pada Jumaat lalu, sebelum Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Mohd Fadhly Mohd Zamry, mengesahkan permohonan itu yang diterima pihaknya hari ini.

Pada 23 Januari lalu, Na’imah didakwa di Mahkamah Sesyen kerana gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan harta.

Bagaimanapun, isteri Daim berusia 67 tahun itu mengaku tidak bersalah sejurus tuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa memberi satu pernyataan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi terma notis mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November lalu yang dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Harta itu membabitkan dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd serta dua Mercedes Benz, selain lapan hartanah membabitkan Menara Ilham, sebuah kediaman di Bukit Tunku, di sini serta enam lagi bangunan dan lot tanah di Taman Tunku dan Bukit Tunku, di sini; Cantoment Road, Pulau Pinang serta Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr Ismail, di sini.

Kesalahan didakwa dilakukan di ibu pejabat SRPM, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya, pada 13 Disember lalu mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM100,000 jika disabitkan kesalahan.

Loading...
Terkini