comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Permohonan rayuan Peguam Diraja Laidlaw didengar 10 Ogos

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, K.Muniandy hari ini menetapkan 18 Ogos untuk pengurusan kes bagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Tarikh itu ditetapkan selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan bahawa rayuan Peguam Diraja Jonathan Laidlaw yang berpangkalan di United Kingdom untuk diterima masuk sebagai peguam bagi mewakili Datuk Seri Mohd Najib dalam perbicaraan kes SRC International akan didengar pada 10 Ogos di Mahkamah Persekutuan.

“Yang Arif, permohonan Datuk Seri Mohd Najib untuk menyemak semula keputusan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International di Mahkamah Persekutuan sudah selesai. Namun, pendengaran rayuan Laidlaw ditetapkan pada 10 Ogos. Sehubungan itu, saya memohon satu lagi tarikh bagi memaklumkan status kes kepada mahkamah ini,” katanya.

Pada 3 Februari 2019, Datuk Seri Mohd Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Loading...
Terkini