comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Perunding nafi tipu syarikat pelaburan RM1.2 juta

Tertuduh, Mohd. Azhari Che Omar hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Oleh Salina Zakaria

KUALA LUMPUR: Seorang perunding syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga pertuduhan menipu syarikat pelaburan hartanah mengenai bayaran tuntutan melebihi RM1.2 juta.

Bayaran itu didakwa bagi kerja-kerja yang tidak pernah dijalankan untuk projek pembinaan sebuah pusat membeli-belah di Terengganu, dua tahun lalu.

Mohd. Azhari Che Omar, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, dia didakwa menipu Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dengan memperakukan Syarikat Gafis (M) Sdn. Bhd.

Syarikat itu didakwa layak mendapatkan pembayaran bagi tiga tuntutan berkala berjumlah RM1.2 juta bagi kerja-kerja ujian penerimaan kilang (FAT) bagi beberapa peralatan.

Tuntutan berkenaan juga sebahagian jumlah keseluruhan tuntutan bernilai hampir RM46 juta.

Tertuduh didakwa menipu PHB di antara 6 November 2020 dan 8 Januari 2021 di pejabat YHS Associates Sdn. Bhd., Pandan Jaya di sini sehingga mendorong syarikat itu membuat pembayaran kepada Syarikat Gafis pada 9 Disember 2020 dan 15 Februari 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sebat dan penjara antara satu hingga 10 tahun serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, pengurus perolehan dan kontrak Syarikat Gafis, Rosliza Lah, 46, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi atas tuduhan bersubahat dengan Mohd. Azhari bagi tujuan sama pada waktu dan di tempat serupa.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersubahat dengan Mohd. Azhari iaitu sengaja membantu menyediakan dokumen yang diperlukan untuk menipu syarikat pelaburan.

Sabit kesalahan Rosliza didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 420 kanun sama yang membawa hukuman penjara satu hingga 10 tahun dan sebat selain denda.

Kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Manakala Mohd. Azhari dikendalikan peguam, Hasnan Hamzah dan Rosliza diwakili peguam Mohd Fikah Sanusi.

Mohd. Azhari dibenar ikat jamin RM150,000 dan Rosliza RM50,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan kes masing-masing ditetapkan 16 Disember ini dan 5 Januari 2023.

Loading...
Terkini