comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pesara awam dapat kebenaran mula prosiding semakan kehakiman bagi perintah pelarasan pencen

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang pesara perkhidmatan awam berjaya memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap kerajaan bagi perintah untuk menyegerakan pelarasan pencen mengikut formula sebelum pindaan pada Akta Penyelarasan Pencen 1980.

Pada prosiding hari ini, Hakim Datuk Amarjeet Singh membenarkan permohonan kebenaran itu yang difailkan Aminah Ahmad, 76, selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mengemukakan bantahan.

Perkara itu dinyatakan peguam, Datuk Dr Abd Shukor Ahmad yang mewakili Aminah pada prosiding pengurusan kes berkenaan, dan memaklumkan AGC tidak membantah permohonan anak guamnya.

Mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes pada 14 Mac depan melalui prosiding e-Review.

Prosiding turut dihadiri seorang lagi peguam Aminah, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, manakala Peguam Persekutuan, Ainna Sherina Saipolamin mewakili Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kerajaan Malaysia.

Aminah memfailkan permohonan kebenaran itu atas kapasiti peribadinya dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam.

Dalam permohonan itu, Aminah memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menyegerakan pelarasan pencen kepada amaun kelayakan pencen mengikut formula dalam Seksyen 3 dan Seksyen 6 Akta Penyelarasan Pencen 1980 sebelum pindaan bawah Seksyen 3 dan Seksyen 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013.

Beliau memohon perintah supaya kedua-dua responden melaksanakan pembayaran tunggakan pencen kepada mereka mengikut formula sama, dalam tempoh 14 hari atau pada masa yang ditentukan oleh mahkamah.

Aminah turut memohon perintah dalam bentuk perisytiharan, iaitu bahawa tindakan responden tidak membayar tunggakan berkenaan adalah tidak konsisten dengan Artikel 4(1), 5(1) (kebebasan diri) dan 8(1) (perlindungan sama rata) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 27 Jun tahun lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan pindaan terhadap Seksyen 3 dan Seksyen 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 kurang memberi manfaat kepada pesara perkhidmatan awam, justeru mengisytiharkannya sebagai terbatal serta tidak sah.

Panel yang sebulat suara menolak rayuan Kerajaan Malaysia dan Ketua Pengarah JPA dalam kes saman difailkan Aminah, turut memutuskan peruntukan itu yang membenarkan kenaikan kadar rata sebanyak dua peratus setiap tahun, adalah bercanggah Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan (perlindungan hak pencen) berbanding Akta Penyelarasan Pencen 1980 sebelum ini.

Aminah memfailkan saman terhadap kerajaan pada 2017 atas kapasiti peribadinya dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam, dengan mendakwa pindaan pada Akta Penyelarasan Pencen menyebabkan keadaan yang agak merugikan kepada beliau berbanding skim pelarasan persaraan sebelum itu mengikut Akta Penyelarasan Pencen 1980.

Pesara itu pada mulanya gagal di Mahkamah Tinggi apabila kesnya ditolak pada 2020, namun beliau merayu kepada Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan memihak kepadanya. Kerajaan dan Ketua Pengarah JPA pula mendapat kebenaran merayu pada 2022 di Mahkamah Persekutuan.

Bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred berkenaan. Bagaimanapun, pindaan 2013 yang diperkenalkan adalah berdasarkan kadar rata (flat rate) dua peratus kenaikan tahunan.

Pada 13 Januari 2022, Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang memihak kepada Aminah dan mengisytiharkan pindaan Seksyen 3 dan Seksyen 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 yang berkuat kuasa mulai Januari 2013, adalah terbatal dan tidak sah kerana melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Rayuan memutuskan dengan pengisytiharan itu, keadaan semasa sebelum pindaan Seksyen 3 Akta Penyelarasan Pencen 1980 akan terus diguna pakai.

Aminah yang bersara sebagai penjawat awam di Kementerian Luar, mengemukakan surat tuntutan kepada Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), serta Pengarah Jabatan Pencen, pada 6 Oktober tahun lalu.

Surat tuntutan itu dikeluarkan berikutan kegagalan Kerajaan Malaysia dan Ketua Pengarah JPA mematuhi perintah mahkamah yang dikeluarkan Mahkamah Rayuan pada 13 Januari lalu (diikuti Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan oleh Mahkamah Rayuan pada 27 Jun 2023).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini