comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pesawah didakwa rogol, lakukan seks luar tabii terhadap anak jiran 

BUTTERWORTH: Seorang pesawah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 10 pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang remaja perempuan bawah umur, bulan ini.

Pertuduhan terhadap lelaki berusia berusia 28 tahun itu dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii dan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam bilik tidur di sebuah rumah di Lahar Tiang, Kepala Batas antara jam 1 hingga 1.30 pagi dari 3 hingga 12 Mei lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan bagi kesalahan merogol dan kesalahan persetubuhan luar tabii pula di bawah Seksyen 377(c) Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, Wan Amira meminta tertuduh tidak diikat jamin memandangkan mangsa adalah anak jiran kepada tertuduh.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan kes akan disebut semula pada 27 Jun depan untuk laporan perubatan dan serahan dokumen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini