comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pilih syarikat isteri bekal peralatan sekolah, guru besar didakwa

Zailani Harun di luar Mahkamah Majistret Kota Bharu. – Foto: NSTP

KOTA BHARU: Guru besar sebuah sekolah didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas 10 pertuduhan menggunakan jawatan untuk mendapat suapan RM8,032.30, antara Januari 2021 hingga Julai tahun lalu.

Zailani Harun, 56, didakwa di hadapan Hakim Dazuki Ali mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, namun mengaku tidak bersalah.

Dia dituduh menggunakan jawatan untuk mendapat suapan dengan memilih syarikat milik isterinya bagi pesanan berhubung pembekalan peralatan sekolah, termasuk untuk pejabat sekolah pada nilai antara RM290 hingga RM1,026 dan keseluruhannya RM8,032.30.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah sekolah di Tanah Merah, di sini, antara 10 Januari 2021 hingga 5 Julai 2022.

Tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Zailani merayu jumlah jaminan RM10,000 dimohon pihak pendakwaan dikurangkan atas alasan dia sudah berkhidmat selama 33 tahun dan mempunyai empat anak masih bersekolah serta menjaga ibu bapa.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 20 November depan untuk sebutan semula kes. Zailani kemudian membayar ikat jamin ditetapkan.

Loading...
Terkini