SHAH ALAM: Isteri kepada pelakon terkenal Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri tidak pernah menolak poligami jika ianya mengikut cara yang betul.
Jelasnya sebagai seorang wanita, isteri dan juga ibu, dia mempunyai hak untuk memilih apa yang terbaik demi masa depan.
“Bagi saya, sekiranya seseorang suami mahu berkahwin lain, sebaik-baiknya ikut sunnah Rasulullah. Contohnya, berkomunikasi dengan baik, tidak melakukan perkara dilarang atau boleh mendatangkan dosa.
“Jadi, saya tiada masalah berpoligami jika caranya betul. Untuk pengetahuan, saya tidak pernah bertemu orang ketiga untuk melakukan provokasi seperti tarik rambut atau maki hamun.
“Sebaliknya, saya lebih cenderung memikirkan kenapa orang ketiga mahu berkahwin dengan suami saya. Sedangkan, saya rasa ditipu, selama ini,” katanya.
Shuhada juga menjelaskan dia sudah mencuba menjadi isteri yang terbaik kepada suaminya itu, namun tidak menepati ciri-ciri yang dimahukan pelakon tersebut.
Tambah Shuhada, Hafidz Roshdi boleh melepaskannya dengan cara yang baik kerana dia juga tidak pernah membuka aib pihak ketiga kepada umum.
“Sebenarnya untuk pengetahuan, saya tidak pernah lagi pergi jumpa pihak ketiga itu,” katanya.
Shuhada ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, juga memberitahu kepada pihak media, dia tidak ingin memberi komen lanjut berkenaan gangguan daripada pihak ketiga sebelum ini.