comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Presiden PKBM dibebaskan daripada tuduhan rasuah

Datuk Abu Samah bersama peguambelanya Datuk Amarjit Singh Gill.

MELAKA: Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Melaka atas dua pertuduhan mendapatkan suapan bernilai RM48,811.85.

Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Mahadi Abdul Jumaat memohon supaya Datuk Abu Samah dilepaskan daripada dua pertuduhan berkenaan.

Untuk kes itu, Datuk Abu Samah dibela oleh peguam Datuk Amarjit Singh Gill yang juga Naib Presiden PKBM dan Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal Asean (ACF) dan peguam Azrul Zulkifli Stork.

Beliau berdepan pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan apabila memilih syarikat milik anaknya Norazman Abu Samah yang juga Naib Presiden PKBM dan juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan ACF untuk menyediakan sewaan kenderaan logistik dengan harga keseluruhan RM12,750.

Suapan dilakukan melalui 13 baucar bayaran mulai 2013 sehingga 2018.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perkara sama membabitkan syarikat milik adik-beradiknya untuk membuat sewaan rumah inap desa bagi kegunaan atlet berbasikal dengan harga keseluruhan RM36,061.85.

Bayaran itu dilakukan melalui 32 baucar bayaran mulai 2013 sehingga 2018 manakala kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Pejabat PKBM dalam daerah Melaka Tengah antara 2013 sehingga 2019.

Mengulas keputusan mahkamah itu, Datuk Amarjit berkata beliau gembira dengan keputusan itu dan berharap Datuk Abu Samah boleh memberi sumbangan yang lebih bermakna selepas ini.

Loading...
Terkini