KLANG: Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan yang diputuskan Mahkamah Sesyen di sini bermula hari ini.
Ia selepas permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman ditolak Hakim Noridah Adam setelah mendapati tiada keadaan khas bagi membolehkan permohonan dibenarkan.
“Permohonan peguam menangguhkan hukuman ditolak kerana tiada keadaan khas yang dikemukakan kepada mahkamah,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul ‘Izzati Mohamad berkata, tiada keistimewaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dalam kes terbabit selepas mengambil kira kesalahan jenayah sudah dibuktikan.
Bagaimanapun, peguam Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili PU Azman selaku pemohon berkata, anak guamnya adalah pesalah pertama dan masih berdepan beberapa pertuduhan di mahkamah lain.
Difahamkan, PU Azman berdepan lima lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, dua kes di Mahkamah Shah Alam, satu di Mahkamah Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang.
Sementara itu, pasukan pembelaan PU Azman akan memfailkan rayuan berkaitan hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan atas dua pertuduhan itu.
Mohamad Zahid berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini, secepat mungkin.
“Kami semestinya akan membuat rayuan nanti (bagi menangguh dan menggantung hukuman itu).
“Semua proses akan dibuat di Mahkamah Tinggi Klang,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan terhadap PU Azman selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun, dua tahun lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.