comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pukul rakan hingga mati, pekerja kilang perabot dipenjara 10 tahun

Foto: NSTP

MUAR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap lelaki warga Nepal yang mengaku salah memukul rakannya menggunakan papan dipacak paku pada hujungnya hingga meninggal dunia enam tahun lalu

Tamang Man Bahadur yang kini berusia 26 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid melalui pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, pekerja kilang perabot itu didakwa memukul rakan senegaranya, Pradhan Ranjit di asrama pekerja di Jalan Kesang Laut, Tangkak, antara jam 10 hingga 11.30 malam, 15 Oktober 2018.

Bagi pertuduhan mengikut seksyen ini, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan juga denda.

Berdasarkan fakta kes, mangsa ditemui maut dalam keadaan terlentang serta berlumuran darah dipercayai akibat dipukul dengan papan di bahagian muka dan kepala.

Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dan tindakan cabar-mencabar berlaku ketika kedua-dua mereka yang ketika itu bawah pengaruh alkohol.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bermula dari tarikh ditangkap, 16 Oktober 2018.

Mahkamah juga memutuskan i-kad dan pasport tertuduh dikembalikan selepas selesai rayuan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini