comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Rakam wanita dalam tandas, tukang cuci warga Indonesia didenda RM4,000

FOTO: NSTP

MELAKA: Seorang tukang cuci lelaki warga Indonesia didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini, selepas mengaku merakam seorang wanita yang berada di dalam tandas menggunakan telefon bimbitnya pada Ahad lepas.

Majistret Nabilah Nizam turut mengarahkan Feri, 27, dihukum penjara enam bulan penjara jika tertuduh gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, Feri dengan sengaja telah merakam seorang wanita berusia 24 tahun yang sedang membuang air di tandas sebuah kedai di Lorong Hang Jebat pada 4.15 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau didenda atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Kent Tan Chow Teng memohon agar hukuman denda minimum dikenakan kerana Feri hanya berpendapatan RM1,500 sebulan dan perlu menanggung keluarga namun Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri mencadangkan satu hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh.

Sebelum ini, Ketua Polis Melaka Datuk Zainal Samah dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa yang merupakan seorang eksekutif kanan di Selangor telah menggunakan tandas di tingkat satu premis menjual biskut di Lorong Hang Jebat di sini.

Beliau berkata ketika hendak memakai seluar, mangsa ternampak sebuah telefon bimbit di lubang dinding tandas sebelah kirinya.

Mangsa telah berjumpa dengan pengurus kedai selepas insiden itu dan menceritakan apa yang berlaku sebelum individu berkenaan memeriksa telefon bimbit milik tukang cuci berusia 27 tahun itu dan mendapati terdapat rakaman video pengadu di dalam tandas kedai.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah dan warga Indonesia itu telah ditangkap manakala ujian saringan air kencing mendapati tertuduh positif dadah jenis Methamphetamine.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini