Tumpuan :
Mahkamah

Rasuah projek RM250 juta, penjawat awam dilanjut reman 3 hari

Oleh: Kadir Edison

KUCHING: Mahkamah Majistret Kuching melanjutkan tempoh reman selama tiga hari sehingga Rabu ini membabitkan seorang penjawat awam yang disyaki terlibat dalam kes rasuah sebagai balasan mendapatkan projek pembinaan bernilai RM250 juta di Sarawak sejak 2022.

Bagaimanapun, permohonan lanjutan reman bagi seorang lagi suspek yang juga nerupakan pengarah syarikat bergelar Datuk, ditolak oleh Majistret Mason Jaro Lenya Barayan selepas berpuas hati dengan alasan peguam suspek untuk tidak melanjutkan tempoh reman tersebut.

Permohonan reman itu dibuat oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melanjutkan proses siasatan terhadap kedua-dua suspek berusia lingkungan 40-an dan 50-an.

Terdahulu, kedua-dua lelaki itu direman lima hari bermula 5 Disember hingga 9 Disember lalu, selepas permohonan reman dibuat SPRM di Mahkamah Majistret yang sama.

Menurut siasatan, kedua-dua suspek sebelum ini dipercayai berpakat dan berkomplot bagi membolehkan beberapa syarikat mendapatkan projek pembinaan dikeluarkan oleh pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) sebuah daerah di Sarawak.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan antara 2022 hingga 2024 sebagai balasan untuk mendapatkan projek-projek pembinaan bernilai kira-kira RM250 juta.

Kedua-dua suspek sebelum ini ditahan SPRM sekitar pukul 5.30 pagi, 4 Disember, ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sarawak.

Pada masa sama, kedua-dua suspek turut disahkan positif dadah jenis metamfetamina.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini