comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Rayu hukuman ringan kerana anak guam sudah insaf – peguam Siti Bainun

Siti Bainun tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk mendengarkan keputusan akhir berhubung dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali merayu Mahkamah Sesyen di sini, agar mengenakan hukuman ringan  atas alasan wanita itu sudah insaf.

Dalam hujahan mitigasi di hadapan Hakim Izralizam Sanusi sebelum memutuskan bentuk hukuman ke atas Siti Bainun, peguam bela, Mohammad Farhan Maaruf juga merayu mahkamah  mempertimbang faktor saiz badan dan tahap kesihatan anak guamnya.

Selain itu katanya, mahkamah perlu mempertimbang hukuman denda saja dan jumlah maksimum mampu dibayar anak guamnya.

“Amaun jaminan yang dimasukkan bagi menjamin kehadirannya di mahkamah termasuk kos tambahan mencukupi untuk membayar denda maksimum, jika dibenarkan mahkamah.

“Saya memohon mahkamah pertimbang gerak kerja sosial Siti Bainun dalam bidang kebajikan serta kesukarelawan.

“Anak guam perlu menjaga ibu dan hanya menjalankan perniagaan menjual kek,” katanya.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down itu hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria, berkata pertuduhan terhadap Siti Bainun adalah serius kerana hampir keseluruhan badan Bella ada kesan lecur dan parut yang mana akan kekal seumur hidup remaja itu.

Katanya, remaja berkenaan mengalami kecederaan fizikal dan emosi akibat kejadian yang berlaku.

“Seterusnya, pihak pendakwaan mengambil kira kepentingan awam akibat kesalahan dilakukan oleh tertuduh. Kepentingan awam seharusnya mengatasi faktor lain dalam mempertimbang hukuman terhadap tertuduh termasuk kepentingannya sendiri.

“Menjadi prinsip untuk menunjukkan keseriusan kesalahan, mahkamah patut guna budi bicara dalam menjatuhkan hukuman bagi mencegah tertuduh melakukan jenayah berulang kali, selain mengelak mesej disampaikan kepada masyarakat bahawa kesalahan itu adalah ringan.

“Tertuduh mempunyai perintah mahkamah untuk menjaga bella, namun salah guna kedudukan amanah yang diberikan untuk mengabai dan menganiaya bella.

“Tertuduh dilihat sebagai sukarelawan yang dipercayai dan dihormati masyarakat mengabai dan menganiaya seorang kanak-kanak yang sebenarnya amat mengharapkan kasih sayang. Ini bagaikan ‘harapkan pagar, pagar makan padi’,” katanya.

Hakim Izralizam kemudian mengenakan hukuman penjara 12 tahun ke atas Siti Bainun kerana didapati bersalah mengabai dan menganiaya Bella.

“Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman pemenjaraan 10 tahun dari tarikh sabitan dan bagi pertuduhan kedua, tertuduh dijatuhi hukuman pemenjaraan 12 tahun dari tarikh sabitan. Kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan secara serentak,” katanya.

Loading...
Terkini