comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Rayuan Jason Lo bebas kes dadah tahun depan

Foto : NSTP

KUALA LUMPUR: Pendengaran pihak pendakwaan yang merayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret melepas dan membebaskan penyanyi, Jason Jonathan Lo atau dikenali sebagai Jason Lo, daripada pertuduhan dadah ditetapkan pada 6 April tahun depan.

Peguam bela Jason Lo, Datuk Hariharan Tara Singh, berkata perkara itu diputuskan ketika pengurusan kes berkenaan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Nur Azizah Jaafar, pagi tadi.”Pendengaran itu akan dijalankan secara fizikal di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin, pada jam 9 pagi.

“Perayu (pendakwaan) dan responden (pembelaan Jason Lo) masing-masing perlu failkan hujahan bertulis sebelum 24 Mac serta 3 April 2023,” katanya kepada BH, hari ini.

Selain Hariharan, Jason Lo diwakili peguam, Effa Azuin Aidrul Hisham, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazrin Zaharinan.

Pada 24 Jun lalu, Jason Lo, 47, yang juga ahli perniagaan dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam badannya, tiga tahun lalu.

Majistret Mohamad Fared Abdul Latif, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Pada 13 Mei lalu, pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil tujuh saksi untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan bermula 6 April 2021.

Antara saksi dipanggil ialah pegawai kimia, pegawai penyiasat dan pegawai yang menjalankan saringan ujian air kencing.

Mengikut pertuduhan, Jason Lo didakwa memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badannya tanpa kebenaran sah di sisi undang-undang.

Kesalahan itu dikesan di tandas pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di Jalan Travers, Brickfields pada 5.15 petang, 15 November 2019.

Pendakwaan mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Tertuduh diwajibkan pengawasan di bawah seliaan pegawai pemulihan sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini