comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Rayuan lima bekas penuntut UPNM batal selepas tarik balik permohonan 

 


PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, membatalkan rayuan lima bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun kerana mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin, memutuskan demikian selepas kelima-limanya menarik balik rayuan masing-masing.

Mereka terdiri daripada Muhammad Akmal Zuhairi Azmal; Muhammad Azamuddin Mad Sofi; Muhammad Najib Mohd Razi; Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Abdoul Hakeem Mohd Ali, dengan kesemuanya kini berusia 28 tahun.

“Dengan ini, mahkamah membatalkan rayuan kelima-lima perayu (bekas penuntut UPNM terbabit),” kata Hadhariah.

Terdahulu, peguam Amer Hamzah Arshad memaklumkan, semua individu itu menarik balik rayuan berkenaan kerana ia bersifat akademik atau tidak lagi relevan kerana mereka sudah menjalani hukuman penjara sejak 2021.

Perkara itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai.

Amer Hamzah ketika dihubungi BH mengesahkan kelima-lima lelaki itu kini fokus rayuan terhadap sabitan mengikut 304 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh.

Pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut UPNM kerana didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat.

Enam mereka termasuk lima perayu berkenaan dan seorang lagi tertuduh, Mohamad Shobirin Sabri.

Sebelum ini, Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Mohamad Shobirin, menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan mengikut Seksyen 302KK yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Abdoul Hakeem pula didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 KK yang membawa hukuman sama.

Mahkamah Tinggi dalam keputusannya mendapati keenam-enam tertuduh bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh mengikut Seksyen 304(a)KK.

Mahkamah itu juga menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap lima tertuduh kecuali Mohamad Shobirin serta 12 rakannya, selepas didapati bersalah atas pertuduhan mencederakan Zulfarhan.

Mohamad Shobirin sebelum ini didakwa atas kesalahan mencederakan, tetapi dilepaskan daripada pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan.

12 rakan penuntut itu iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail; Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain; Ahmad Shafwan Berdal; Muhammad Amirul Asraff Mala; Luqman Hakim Shamsuri Agus; Muhammad Sufi Mohd Mustapha; Noriznan Izzairi Noor Azhar; Muhamad Ashraf Abdullah; Muhammad Danial Firdaus Azmir; Muhammad Hasif Ismail; Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.

Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba.

Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di dua bilik, blok penginapan asrama Jebat, UPNM pada 21 dan 22 Mei 2017.

Zulfarhan meninggal dunia ketika dalam rawatan di Hospital Serdang pada 1 Jun tahun sama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini