comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Remaja Baling Pisau Mengaku Tidak Bersalah

JOHOR BAHRU: Seorang remaja perempuan didakwa di Mahkamah Majistret Kanak-Kanak di sini hari ini, atas pertuduhan tanpa niat menyebabkan kematian adiknya di rumah mereka di Kampung Pulai, Ulu Choh, 19 Oktober lalu.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 17 tahun 11 bulan itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Zuhainie Zull Kafli.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga anak sulung daripada lima beradik itu didakwa menyebabkan kematian adik lelakinya yang berusia 16 tahun yang mana dia mengetahui perbuatannya itu mungkin menyebabkan kematian mangsa.

Pelajar tingkatan enam sebuah sekolah menengah di Gelang Patah itu dituduh mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintah tertuduh membayar ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain melapor diri setiap bulan di Balai Polis Gelang Patah.

Pihak pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos.

Sebutan semula kes ditetapkan 5 Disember ini bagi laporan bedah siasat.

Media sebelum ini melaporkan kejadian dipercayai berpunca daripada pergaduhan berebut tempat duduk di dalam kereta ketika pulang dari sekolah.

Remaja berkenaan kemudiannya bertindak membaling pisau ke arah adiknya sebelum meninggal dunia disebabkan terkena tusukan pisau berkenaan.

Loading...
Terkini