comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Remaja buat aksi ‘zig zag’ diperintah jalani 100 jam khidmat masyarakat

Tertuduh, Halim Yusof selepas diperintah menjalani 100 jam khidmat masyarakat dengan JKM.-FOTO: NSTP

BATU PAHAT: Seorang remaja lelaki yang menunggang motosikal secara berbahaya termasuk melakukan aksi ‘zig-zag’ diperintahkan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini untuk menjalani hukuman khidmat masyarakat 100 jam selama setahun.

Majistret Suhaila Shafi’uddin mengeluarkan perintah itu terhadap tertuduh Halim Yusof, 20, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan pilihan dikemukakan oleh jurubahasa terhadapnya, selari dengan Seksyen 293 (1) (e) Kanun Prosedur Jenayah.

Pada masa sama, mahkamah juga menetapkan tiga syarat terhadap tertuduh iaitu perlu melapor diri kepada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan bermula dua minggu dari tarikh perintah dikeluarkan.

Selain itu, mahkamah juga memerintah tertuduh mematuhi jadual aktiviti khidmat masyarakat yang ditetapkan JKM serta menetap di alamat yang dinyatakan.

Sekiranya tertuduh berpindah atau sebagainya, dia perlu memaklumkan kepada pegawai JKM dan sebarang pelanggaran syarat akan membolehkan tertuduh dihadapkan semula ke mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia yang kini bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi didakwa menunggang motosikal tanpa kecermatan dan perhatian di Kilometer 19 hingga 20, Jalan Kluang-Ayer Hitam, di sini, 2 pagi, 12 Februari tahun lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) (Pindaan 2020) yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 dan penjara selama 12 bulan.

Berdasarkan fakta kes, polis menjalankan rondaan terserempak dengan tertuduh yang sedang menunggang motosikal.

Susulan itu, polis menahan tertuduh sebelum dibawa ke Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Kamarularifin Nordin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Sebelum perintah itu dikeluarkan, mahkamah juga mendengar laporan sosial tertuduh yang dibentangkan Penolong Pegawai JKM Batu Pahat, Faezah Ajmain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini