comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Remaja lelaki, teman wanita mengaku salah aksi “wheelie”

Oleh Fazli Ahmad

KUANTAN: Seorang remaja lelaki dan teman wanitanya mengaku bersalah di Mahkamah Khas Trafik Kuantan hari ini, atas pertuduhan melakukan aksi berbahaya “wheelie”, 12 Mac lalu.

Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh berusia 17 tahun dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Majistret Fatimah Abu Bakar.

Remaja lelaki terbabit didakwa menunggang manakala remaja perempuan yang juga pelajar sebuah sekolah di Balok sebagai pembonceng melakukan kesalahan itu di Jalan Chendor, Kuantan menghala ke Kemaman, Terengganu kira-kira jam 5:30 petang 12 Mac lalu.

Mereka didakwa melakukan aksi berbahaya mengangkat tayar hadapan dengan mengambil kira keadaan jalan dan tindakan itu berbahaya kepada pengguna lain.

Pertuduhan  mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun serta denda hingga RM15,000 selain hilang kelayakan lesen memandu selama 10 tahun.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa, Inspektor Nafizah Ismail manakala kedua-dua remaja terbabit tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 7 Jun depan untuk pihak pendakwa mengemukakan laporan akhlak kedua-dua tertuduh sebelum hukuman diputuskan.

Kedua-dua remaja itu dibenarkan diikat jamin RM800 seorang.

31 April lalu, tular di media sosial aksi berbahaya dua remaja terbabit  sebelum mereka  ditahan polis di Balok, Kuantan sehari kemudian.

Loading...
Terkini