comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Remaja mengaku bersalah cabul pelajar 13 tahun

MUAR: Seorang remaja mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal serta oral seks terhadap pelajar perempuan, Mei lalu.

Tertuduh berusia 18 tahun yang juga pembantu kantin membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat, yang mengeluarkan perintah terhadapnya menjalani hukuman di sekolah pemulihan akhlak Henry Gurney sehingga usianya 21 tahun.

Sejurus mahkamah menjatuhi hukuman itu, tertuduh kemudian didekati ahli keluarga termasuk ibunya yang hadir dengan berkerusi roda sambil mengungkap kata, ‘maafkan saya ibu’.

Mengikut pertuduhan, anak kelima daripada 10 beradik itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, dengan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan dikenakan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap pelajar berusia 13 tahun di sebuah pusat karaoke di Jalan Sisi, di sini, jam 3 petang pada 10 Mei lalu.

Dia sedang menjalani hukuman bon berkelakuan baik selama dua tahun bercagaran RM2,000 bermula November tahun lalu sehingga Oktober tahun depan atas kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Hukuman itu diputuskan Mahkamah Majistret di sini, memandangkan tertuduh masih bawah umur ketika kejadian berlaku, namun dia bertindak melanggar perintah dikenakan terhadapnya.

Pada prosiding itu, Pegawai Perintah Khidmat Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Muar, Shahrol Rozaat Abdul Rasih turut membentangkan laporan sosial tertuduh kepada mahkamah.

Hakim Abu Bakar sebelum menjatuhi hukuman memberitahu, mahkamah juga mengambil kira laporan sosial daripada JKM selain latar belakang keluarga tertuduh.

“Jika melihat laporan sosial ini, kamu tak banyak masalah walaupun ada kekurangan daripada segi akademik, tetapi kamu ada faktor tambahan dalam kokurikulum.

“Kamu mewakili sekolah, daerah dalam bola sepak sehingga guru yakin terhadap pencapaian kamu. Saya harap apabila keluar nanti, teruskan usaha mencapai cita-cita kamu (menjadi askar),” hujahnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam serta faktor usia mangsa.

Mahkamah kemudian memerintah tertuduh menjalani hukuman di Sekolah Henry Gurney, Melaka selaras dengan Seksyen 76 Akta Kanak-Kanak 2007 serta pengawasan polis selama setahun selepas tamat hukuman, mengikut Seksyen 27 AKKSTKK.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini