comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Remaja mengaku ugut untuk mencederakan ibu kandung

BATU PAHAT: Seorang remaja berusia 17 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengugut mahu mencederakan ibunya menggunakan besi selepas gagal mendapatkan wang, Isnin lalu.

Tertuduh kemudian mengaku bersalah sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.

Anak sulung enam beradik itu didakwa melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan kecederaan terhadap ibunya berusia 37 tahun, di sebuah kedai menjual barang terpakai di Rengit, dekat sini, jam 11.30 malam, 6 Mei lalu.

Bagi pertuduhan ini, dia boleh dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut laporan dibuat ibu mangsa, kejadian berlaku ketika remaja itu meminta wang namun wanita itu enggan memberikan kepadanya, menyebabkan tertuduh bertindak mengambil sebatang besi lalu mengacu ke arah ibunya.

Wanita itu dalam ketakutan hingga membuat laporan di Balai Polis Rengit, keesokan harinya.

Pada prosiding hari ini, mahkamah turut bertanyakan tertuduh mengenai keluarganya selepas kelibat mereka tidak kelihatan.

Bagaimanapun, tertuduh memaklumkan dia tidak ingat nombor telefon dan berkemungkinan keluarganya tidak mengetahui remaja itu dituduh hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Jun ini untuk laporan akhlak serta hukuman.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini