Oleh: Selwam Arjunan
BALIK PULAU: Seorang remaja perempuan bersama dua lagi individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan menjalankan aktiviti mengumpul dan mendaftarkan akaun bank untuk keldai akaun dengan menggunakan telefon bimbit, minggu lalu.
Tertuduh Ling Kie Teck, Kelvin Hung Tuan Wan masing-masing berusia 19 tahun dan remaja perempuan 16 tahun itu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret, Chia Huey Ting.
Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa secara bersama telah menjalankan aktiviti mengumpul dan mendaftarkan akaun bank kepada keldai akaun menggunakan tujuh buah telefon bimbit pelbagai jenis.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kafe di Lorong Bukit Kecil, Taman Sri Nibong, Bayan Lepas, jam 7.30 malam pada 12 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 beserta seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan kesemua mereka perlu lapor diri di balai polis berhampiran kediaman masing-masing.
Mahkamah menetapkan 19 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.