comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Reman bekas setiausaha politik, ahli perniagaan disambung 3 hari

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Perintah reman terhadap bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri dan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri disambung tiga hari lagi bermula esok sehingga Selasa depan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Ain Nurshahira Sahzan selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, kedua-dua suspek yang berusia sekitar 40-an telah direman selama empat hari bermula 24 Januari lalu.

Mereka dipercayai meminta dan menerima suapan daripada beberapa syarikat serta kontraktor yang mendapat tender kerja di sebuah kementerian sekitar 2020 hingga 2021 bernilai jutaan ringgit.

Sepanjang tempoh siasatan, SPRM telah menyita dan merampas beberapa kenderaan mewah dimiliki suspek yang dipercayai hasil daripada sumber rasuah yang diperoleh suspek bersangkutan dengan tender di kementerian terbabit.

Kenderaan yang disita adalah Rolls Royce Ghost V12 Ewb, Mercedes-Benz G63 Amg Brabus, Range Rover Autobiography, Porche Cayenne, Toyota Land Cruiser, Mini Cooper Works Rhd, Toyota Alphard, Toyota Vellfire dan Mercedes-Benz S400L.

Kesemua kenderaan mewah tersebut kini disimpan di Gudang Sita SPRM.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan reman lanjut terhadap dua suspek tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, media melaporkan, SPRM menahan reman empat ahli perniagaan termasuk seorang bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri dan seorang individu bergelar Datuk Seri kerana disyaki menerima suapan dari beberapa syarikat serta kontraktor yang telah mendapat tender di sebuah kementerian.

Menurut sumber, penahanan terhadap keempat-empat suspek dibuat selepas suspek utama yang sebelum ini bekerja sebagai setiausaha politik seorang bekas menteri telah meminta dan menerima suapan bagi memastikan tender pembekalan di sebuah kementerian diperoleh pihak kontraktor.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini