Tumpuan :
Mahkamah

Respresentasi ditolak, Zaim dan Ismanira kekal dibicara atas pertuduhan abai Zayn Rayyan

Foto: NSTP

Oleh: Fareez Azman

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini menolak representasi ibu bapa kepada kanak-kanak autistic, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang memohon menyemak semula pertuduhan dihadapi mereka.

Keputusan itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr Syahliza Warnoh pagi ini.

Sementara itu, peguam bela pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang baharu dilantik, Haresh Mahadevan memohon agar tarikh pertama perbicaraan kes yang ditetapkan pada 20 Januari 2025 ditangguhkan.

Beliau berkata, permohonan itu atas alasan pihaknya belum menerima cakera padat (CD) analisis forensik telefon bimbit tertuduh dan laporan forensik ke atas jasad mangsa.

Mahkamah menetapkan tarikh baharu perbicaraan pada 10 hingga 14 Mac 2025 menggantikan 20 hingga 24 Januari yang ditetapkan sebelum ini.

Manakala tarikh 3 hingga 7 Februari dan 17 hingga 21 Februari 2025 yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan.

Pasangan itu turut diwakili peguam Ramzani Idris.

Sebelum ini, Peguam bela terdahulu Fahmi Abd Moin yang mewakili kedua-dua mereka memaklumkan, representasi itu dihantar pada 19 November lalu bagi memohon AGC mempertimbangkan bagi menarik balik atau menggugurkan pertuduhan terhadap kedua-dua anak guamnya itu.

13 Jun lalu, kedua-dua mereka masing-masing berumur 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Mahkamah turut menetapkan 10 Januari 2025 sebagai tarikh sebutan semula.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini