comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Rogol anak saudara, lelaki dihukum penjara 36 tahun dan 40 sebatan

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki mengaku bersalah atas empat pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli, menjatuhkan hukuman 36 tahun penjara dan 40 sebatan ke atas tertuduh yang berusia 44 tahun itu mengikut seksyen 376 (3) kanun keseksaan dan satu pertuduhan mengikut seksyen 14 (a) AKta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke empat, tertuduh didakwa merogol mangsa manakala bagi pertuduhan kelima tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di dua lokasi berasingan di Daerah Kuala Terengganu antara Januari 2023 hingga Disember 2023 ketika mangsa berusia 14 tahun 3 bulan hingga 15 tahun 2 bulan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama.

Manakala bagi tiga lagi pertuduhan, tertuduh dijatuhi hukuman 8 tahun penjara dan 10 sebatan.

Selain itu, tertuduh turut dihukum penjara selama dua tahun bagi pertuduhan mengikut seksyen 14 (a) AKKSTKK 2017.

Mahkamah kemudian mengarahkan hukuman penjara bagi setiap pertuduhan berjalan berasingan bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 27 Mac lalu.

Bagaimanapun, tertuduh hanya dikenakan 24 sebatan memandangkan Seksyen 288 KanunPprosedur Jenayah hanya membenarkan maksimum hukuman sebatan 24 kali.

Tertuduh juga turut diarahkan berada dalam pengawasan polis selama dua tahun mengikut Seksyen 27 AKKSTKK 2017 sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini