comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Rogol dan rakam aksi cabul, bapa tiri tak mengaku salah

FOTO: NSTP

MUAR: Pekerja pemotong rumput didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak perempuan tirinya di sebuah rumah di Batu Pahat, tahun lalu.

Tertuduh berusia 41 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa merogol anak tirinya berusia 15 tahun ketika kejadian, di sebuah rumah di Jalan Kluang, Sri Gading, Batu Pahat, pada jam 9 malam, 6 Jun tahun lalu.

Bagi pertuduhan ini, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga sebatan tidak kurang 20 kali.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan semua kejadian, masa berlaku di tempat sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.

Mengikut laporan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu ketika ibu mangsa tiada di rumah.

Malah, tertuduh juga dikatakan merakam aksinya ketika melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa menggunakan telefon bimbit milik lelaki itu.

Kejadian menimpa mangsa akhirnya terbongkar apabila guru kaunseling memanggilnya berikutan kelakuannya berubah menjadi pendiam.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh atas beberapa faktor termasuk demi keselamatan mangsa memandangkan hubungan mereka sangat dekat.

Selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan serta rayuan tertuduh, mahkamah akhirnya membuat pertimbangan untuk tidak membenarkan ikat jamin.

Mahkamah juga menetapkan 25 Mac ini untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam tertuduh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini