comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Rogol kenalan 13 tahun, pelajar tingkatan dua mengaku salah

Tertuduh hadir bersama ibunya ke Mahkamah Majistret Batu Pahat untuk mendengar pertuduhan merogol kenalan.-FOTO: NSTP

BATU PAHAT: Seorang pelajar lelaki tingkatan dua didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol kenalan sekolahnya berusia 13 tahun pada Mac lalu.

Tertuduh berumur 14 tahun mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa melakukan perbuatan itu di tepi Jalan Benteng, Parit Raja, di sini, kira-kira jam 8 malam pertengahan Mac lalu.

Dia dituduh melakukan kesalahan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam, Baharudin Baharim.

Susulan pengakuan bersalah oleh tertuduh, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baharu untuk membolehkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan laporan akhlak, serta hukuman bakal dikenakan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000, dan menetapkan 10 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Berdasarkan laporan polis dibuat bapa mangsa, kejadian itu disedari selepas beliau terbaca mesej perbualan dua remaja berkenaan dalam telefon bimbit.

Susulan itu, bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Parit Raja pada 3 April lalu sebelum remaja lelaki berkenaan ditahan pada 10 Mei untuk membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini