comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Rogol kenalan media sosial, remaja dipenjara 5 tahun

FOTO: NSTP

MUAR: Seorang remaja lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan atas pertuduhan merogol kenalan bawah umur yang dikenalinya di media sosial minggu lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Muar, Abu Bakar Manat memutuskan keputusan terbabit selepas tertuduh berusia 18 tahun itu mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Dalam penghakimannya hakim turut menasihati tertuduh supaya mengambil iktibar atas perbuatan dilakukannya.

“Kamu ada adik perempuan, apa perasaan kamu jika orang lain buat (rogol) perkara sama padanya? Apa perasaan kamu sebagai abang?

“Kalau tak nak benda tak baik berlaku pada keluarga kita, jangan sesekali kita buat pada orang lain, demikian nasihatnya.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang remaja berusia 14 tahun di sebuah rumah di Kluang antara jam 9 hingga 10 pagi, 22 Oktober lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa berasal dari Klang, Selangor dilaporkan datang ke rumah tertuduh selepas sebulan berkenalan melalui media sosial.

Mahkamah memutuskan hukuman berjalan bermula dari tarikh ditangkap 24 Oktober lalu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini