comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Rosmah Nafi Terima, Miliki Kalung Berlian Merah Jambu – Peguam

Datin Seri Rosmah Mansor hari ini sekali lagi mengulangi bahawa beliau tidak pernah menerima atau memiliki kalung berlian merah jambu bernilai US$23 juta rekaan tukang emas berprestij New York Lorraine Schwartz.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent, Rajivan Nambiar dan Reza Rahim dalam kenyataan akhbar hari ini memaklumkan Rosmah, 70, tidak mengetahui pengetahuan mengenai invois yang dikemuka serta ditunjukkan kepada juri pada perbicaraan bekas pengurus bank Goldman Sachs Group Inc iaitu Roger Ng Chong Hwa di Amerika Syarikat, yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kami mendapat arahan bahawa isu mengenai nilai kalung itu tidak pernah dimaklumkan kepada anak guam kami dan suaminya Datuk Seri Najib Razak serta mereka tidak pernah, pada bila-bila masa, menuntut, meminta atau menunjukkan hasrat untuk membeli barang kemas tersebut.

“Pada setiap masa yang material, anak guam kami dan suaminya hanya mengetahui bahawa seorang putera raja UAE (Emiriah Arab Bersatu) iaitu Sheikh Mansour Zayed berhasrat memberikan kalung berlian merah jambu itu sebagai hadiah kepada anak guam kami. Nilai kalung itu juga tidak pernah dimaklumkan kepada anak guam kami dan suaminya,” kata mereka.

Menurut kenyataan itu, Rosmah tidak pernah menerima kalung tersebut dan ini terbukti apabila beberapa serbuan oleh pihak berkuasa gagal menemukannya dalam pemilikan beliau.

“Anak guam kami menyatakan bahawa dengan mensensasikan isu ini adalah satu lagi percubaan keji untuk memfitnah beliau dan suaminya secara politik,” katanya.

Kenyataan itu menyebut Rosmah juga tidak tahu mengenai invois yang dikemuka serta ditunjukkan kepada juri pada perbicaraan Ng dan mengambil pendirian bahawa pengeluaran invois berkenaan tidak terjumlah kepada sebarang bentuk bukti konklusif yang mengaitkan mereka dengan pembelian kalung berlian merah jambu tersebut. — BERNAMA

Loading...
Terkini